Muhyiddin Semakin Disukai Rakyat, Bakal Terajui Malaysia Lebih Lama

Sememangnya tidak dapat dinafikan populariti Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 diterima umum khasnya ketika negara berdepan dengan Covid-19.

Ketika itu, konflik dan politik ditolak tepi sebaliknya keseluruhan kepimpinan negara bertungkus lumus memerangi pandemik berkenaan.

Parti Cinta Malaysia (PCM) menyatakan sokongan selain mahu lebih masa untuk Muhyiddin terus memimpin negara malah menyenaraikan 10 sebab mengapa Ahli Parlimen Pagoh itu perlu kekal sebagai Perdana Menteri.

Menurut Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan, beliau yakin dengan keadaan tidak menentu dan kestabilan politik masih dalam tanda tanya, Muhyiddin selayaknya terus mengemudi negara.

Kata beliau, antara 10 sebab yang telah tersenarai olehnya termasuk bagaimana Muhyiddin memimpin ketika berlaku serangan Covid-19 sehingga dunia memuji cara Malaysia menanaganinya.

“Sebenarnya bukan 10 sebaliknya banyak lagi tetapi biarlah senaraikan dulu. Anda sendiri boleh buat perhitungan. Selain Covid-19 ditangani dengan paling efektif, pastinya isu ekonomi juga dikendalikan dengan baik sekali. Secara umumnya, semua pasti setuju.

“Ketika musibah melanda negara, hampir kesemua golongan mendapat bantuan dan terus mendapat perhatian dari masa ke masa.

“Ingat ya, dulu ianya lebih polemik dan isu politik lebih menjadi fokus sebaliknya dengan Muhyiddin, rakyat sebenarnya didahulukan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Selain itu, menurut Cheng Guan, Peguam Negara juga telah dilantik dari golongan profesional dan bukan kroni seperti sebelum ini.

Selain itu, pelantikan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu dengan menaikkan pangkat Timbalan Ketua Pengarah SPRM juga bukan lantikan politik.